Monday, June 1, 2009

Refleksi Diri




Kadangkala, apa yang kita nampak di cermin boleh menipu diri kita sendiri. Di rumah, kita akan nampak diri kita kurus sedikit, tinggi sedikit. Tapi apabila melihat cermin di tempat lain, kita nampak gemuk sedikit. Kalau gambar diambil menggunakan kamera, kita akan nampak lagi gemuk (mungkin). Bagi yang tahu bermain Photoshop, boleh lah dikuruskan sedikit rupa. Tapi, realitinya, apa yang kita nampak kadang kala boleh menipu diri kita sendiri yakni tidak menggambarkan diri kita yang sebenarnya kerana cermin itu tidak sempurna seperti yang kita sangkakan. Tidak betul-betul rata seperti yang digunakan dalam teleskop Hubble.


Kadangkala, bagi sesetengah orang, apabila bermuhasabah seorang diri, kita menipu diri kita sendiri. Kita akan nampak diri kita baik sahaja. Adalah cacat cela sikit, tapi, kita merasakan kita semakin baik. Atau mungkin juga kita merasakan kita ada banyak dosa. Pandang depan, dosa. Toleh kiri kanan, dosa. Lalu kita beristighfar. Namun, apabila dilihat dari kaca mata orang lain, kesalahan kita sebenarnya lebih banyak dari yang kita tahu. Dalam sedar atau tidak, kita melakukan kesalahan tanpa disedari.


Emo.
Melenting.
Bertindak terburu-buru.
Mementingkan diri sendiri.
Memandang aurat bukan muhrim.
Bercakap perkara tidak berfaedah.
Bergurau melebih-lebih.
Tidak senyum.
Makan makanan orang lain.
Suka bermegah.
Suka populariti.
Suka dipuji.
Tidak menjaga muamalat.
dan banyak lagi.


Maka, di sini perlu ada budaya tanassuh (saling menasihati). Tanassuh merupakan budaya yang penting dalam saff dakwah. Kata seorang akh kepada saya tidak lama dahulu. Ya. Tidak dapat dinafikan. Kerana kita bukan maksum. Sudah semestinya ada cacat celanya. Sudah pasti ada masanya tersilap langkah. Kita kata kita harus amar makruf dan nahi mungkar. Tetapi ia selalunya disasarkan kepada objek dakwah. Tidak sesama kita. Saya kira, barisan duat akan lebih cantik sekiranya budaya tanassuh ini sentiasa diamalkan.


Ada kalanya amat susah untuk kita menegur sesama kita. Mungkin kerana hormat, takut, ragu-ragu dengan pandangan sendiri, atau mungkin juga kerana malas hendak melayan karenah. Tetapi perlu diingat, barangkali nasihat kita itulah yang mungkin membawa perubahan yang besar kepada sahabat kita itu. Perubahan yang insyaAllah positif.


Poin yang hendak diketengahkan di sini ialah, manusia melakukan kesilapan dan sering terlepas pandang, walaupun ia bermuhasabah. Nama pun al-insan. Maka, tegurlah (secara berhikmah) andai ada salah dan silap. Peringatkanlah andai terlupa. Itulah tanda ukhuwah yang kukuh.


"Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat- menasihati supaya menetapi kesabaran." 103:2-3


ps: Maka apabila anda melihat saya melakukan kesilapan, silalah tegur.
Terima kasih kepada seorang pakcik di masjid Michael St kerana telah menegur saya dan rakan-rakan suatu maghrib yang lalu.

1 comment:

zahidzuhri said...

menar kata kitak ya...maybe sometimes we'll feel hurt...but as time goes by...you'll start to think and ponder upon our friends advice...
untuk orang yang merasakan diri dia maksum,maka akan terus melupakan teguran itu...tapi kita tidak maksum...