Tuesday, August 16, 2011

Pidato Khalifah


Mengimbau kembali sesi usrah beberapa tahun yang lalu, saya terjumpa kembali teks pidato Saidina Abu Bakar r.a apabila dilantik menjadi khalifah. Kata-katanya ringkas, tetapi cukup padat. Mungkin ada yang membacanya buat pertama kali, ada yang telah membacanya berkali-kali. Saya rasa, bagi mereka yang telah terjun, membasahkan dirinya dengan tarbiyyah & dakwah, bacaan kali kedua, ketiga dan seterusnya mungkin memberinya pemahaman yang berbeza dari sebelumnya. Nampaknya semakin menusuk kalbu.

Semoga mendapat manfaat dari wasiat sang khalil Rasulullah.

Empayar Khalifah Abu Bakar r.a. (sumber: Wikipedia)

________________________________________________

Saya berpesan kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah. Pujilah Dia kerana Dia sememangnya layak menerima puji-pujian. Ramukanlah pengharapan dengan ketakutan (baca: khouf dengan roja'). Bersungguh-sungguhlah memohon. Sesungguhnya Allah memuji Zakaria (a.s.) dan keluarganya. Firman Allah:

Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. (al-Anbia’: 90)

Ketahuilah wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah Taala dengan hak-Nya mengambil diri kamu sebagai gadaian. Untuk itu, Dia mengambil janji setia dengan kamu. Dia membeli daripadamu sesuatu yang sedikit dan akan binasa, dan membayarnya dengan sesuatu yang lebih banyak dan kekal. (rujuk at-Taubah 9:111)

Ini adalah kitab Allah yang pada kamu. Keajaibannya tidak akan hilang, cahayanya tidak mungkin padam. Oleh itu, percayailah firmanNya, ambillah pesanan daripada kitab-Nya, dan berpandulah dengannya pada hari yang penuh kegelapan. Sesungguhnya kamu diciptakan untuk beribadah. Kamu diawasi oleh malaikat kiraman katibin yang mengetahui apa yang kamu lakukan. 

Ketahuilah wahai hamba Allah, sesungguh-nya pagi dan petang kamu bergerak menuju ajal yang tidak kamu ketahui. Oleh itu jika kamu mampu menemui ajal dalam keadaan kamu sedang beramal, maka lakukanlah. Namun kamu sama sekali tidak mampu melakukannya kecuali dengan bantuan Allah. Oleh itu berlumbalah (melakukan kebaikan) ketika masih ada tempoh ajal kamu (rujuk at-Taubah 5:48). Lakukanlah sebelum ajal datang menemui kamu. Jika tidak, Allah mengembalikan kamu kepada amalan kamu yang paling buruk. Maka sesungguhnya ada golongan yang hanya menjadikan ajal untuk kebaikan orang lain sedangkan dia alpa dengan dirinya sendiri. Oleh itu, saya melarang kamu daripada menjadi seperti mereka. 

Selamatlah... 

Selamatlah...

Sesungguhnya di belakang kamu ada ajal yang mengejar dan ia terlalu pantas bergerak menujumu.
_________________________________________________

rujukan:
"Gambaran Kehidupan Sahabat: Abu Bakar as Siddiq r.a.", Dr. Ali Laban, Modul Pembangunan Insan: Asas-asas Islam Jilid 1, Ikatan Muslimin Malaysia.

2 comments:

int_ayu said...

salam..
saya tertarik mengikuti blog ni sbb kbykkn nya berkaitan dgn architecture..

kbtln .. sy student archi yang masih mentah lg..

teruskan usaha anda menulis artikel berkenaan dgn dunia architecture..mengikut syariatNya..

wassalam..

Unknown said...

wassalam

insyaAllah. Semoga banyak mendapat manfaat.