Monday, April 25, 2011

Niat penting, tapi kenapa di-sekularkan?


Antara program pertama yang dilalui semasa di Australia ialah Antara Semalam dan Hari Ini. 

Antara persoalan utama yang bermain di fikiran seseorang yang mula hendak beramal dalam Islam ialah niat.

Teringat dahulu ketika first year, baru nampak kesyumulan Islam.
Baru nampak Islam di luar kerangka lafaz syahadah, solat fardu, puasa Ramadan, zakat, haji.

Ketika itulah hendak mula bertatih membaca Quran, mula fikir hendak solat rawatib, hendak berpuasa sunat Isnin Khamis. Baru mula semangat nak tahu yang mana halal, yang mana haram.

Setiap kali hendak buat sesuatu amalan, pasti akan tanya diri dulu, mengapa nak buat semua ni?
Nak solat rawatib, nanti dikata, "Uih, alim dah dia ni."
Nak bukak Quran di masjid, "Pergh, dah jadi baik."

Juga apabila mula-mula diperkenalkan dengan dakwah, apabila diajak untuk mengajak orang lain ke arah Islam,
hati rasa kurang senang sebab 'tidak bersedia'. Rasa belum layak.

Risau sekiranya hati yang menggerakkan amal ini belum ikhlas beramal kerana Allah semata-mata. Risau sekiranya amal itu dilakukan kerana pengaruh rakan dan terbawa-bawa mengikut arus.

Poster pertama dihantar ke Seni Kehidupan

Sememangnya retrospeksi hati itu perlu dilakukan. Sekiranya tidak ada proses muhasabah yang berterusan, dikhuatiri hati kita akan dijangkiti penyakit i'jab bin nafsi, yakni penyakit di mana kita merasakan diri kita hebat.

Dikhuatiri penyakit ujub itu akan merebak sehingga naik ke fasa kedua yakni ghurur. Sudahlah merasa bangga dengan diri, malah mula merasakan orang lain lebih rendah.

Sekiranya tidak ada proses pembersihan jiwa melalui sistem tarbiyyah yang elok, akan membarah pula menjadi takabbur. Mula merasa diri hebat, dan lebih teruk lagi memperlekehkan orang lain. Menghina peribadi orang. (dipetik dari buku Afatun ala ath-Thariq karangan Dr. Sayyid Muhammad Nuh)

Tetapi antara pesanan orang lama dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ialah niat ini boleh diluruskan. Niat asal mungkin menyimpang, tetapi masih ada peluang di kemudian hari untuk meluruskan kembali niat. Kebetulan semalam, semasa Annual Australian Islamic Conference, Syeikh Hussein Yee juga menyebut, "The intention might be different, but it can be changed." Syeikh memberikan contoh para sahabat yang pernah berhijrah kerana perempuan, yang pernah dilembutkan hatinya dengan harta ghanimah, dan sebagainya.

Apa-apapun, alhamdulillah. Itu bukan isunya. Semua orang yang mahu beramal seringkali muhasabah niat. Itulah lumrah dunia, fitrah kehidupan, sunnatullah. Hendak atau tidak, pertarungan dalam jiwa ini akan berterusan sehingga kaki menjejak syurga, insyaAllah. Tinggal kita hendak berusaha mengharunginya atau tidak.

Tetapi, ada satu perkara yang saya kurang faham. 

Kenapa niat itu hanya dipersoalkan dalam hal-hal yang melibatkan Islam?

Kalau berkaitan dengan Islam, selagi niat itu tidak ikhlas kerana Allah, selagi itu amal itu tidak terserlah. (which is wrong by the way. Tak buat amalan sebab takut sombong sebenarnya dah sombong juga. Sombong dengan Allah!).

Kenapa bab belajar tidak dipersoalkan niat?
Kenapa bab pergaulan seharian tidak dipersoalkan niat?
Kenapa bab penggunaan masa sehari-hari tidak dipersoalkan niat kita?

Bukankah Islam itu merangkumi seluruh aspek kehidupan?

Juga, bukankah perbuatan melakukan amal itu sebenarnya nikmat dari Allah? Dan bukankah kita sebenarnya dianjurkan untuk menzahirkan nikmat itu sebagai tanda syukur?

"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang mengharamkan perhiasan yang telah Allah anugerahkan untuk hamba-hambanya, dan makanan-makanan yang baik-baik. Katakanlah bahawa ia adalah untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan mereka di dunia ini dan khas untuk mereka di akhirat kelak. Begitulah kami menjelaskan tanda-tanda itu bagi kaum yang mengetahui." Al-A'raf ayat 32

Seolah-olah, tanpa disedari, minda kita telah ditanam fahaman bahawa Islam hanya terbatas pada sesetengah perkara. Islam itu seolah-olah hanya satu juzuk dari kehidupan manusia.

Poster yang baru dihantar ke SK beberapa bulan lepas.


Kalau niat penting, kenapa disekularkan?

Cara berfikir kita memerlukan perubahan yang menyeluruh.
Sebab itu perlu kepada tarbiyyah (pendidikan).
Tarbiyyah itu perlu tersusun. Ada wasilah-wasilah (kaedah-kaedah) yang melengkapi segenap aspek.
Tidak cukup dengan halaqah dan kuliah.
Perlu ada qiyamullail untuk membentuk jiwa agar kuat hubungan seorang mukmin itu dengan PenciptaNya,
perlu ada daurah/seminar untuk meningkatkan kefahaman dan ilmu pengetahuan,
perlu ada mukhayyam yang melatih kita di luar zon selesa,
perlu ada rehlah dan jaulah utk kita mem'baca' dan merenung kejadian alam dan membina ukhuwwah,
perlu kepada usrah yang menjadi unit-unit kecil dalam masyarakat yang beramal dengan Islam.

Tapi apakan daya? Ramai lebih minat Bieber dan K-Pop daripada agenda Islam.
Agenda ini hanya dibicarakan oleh golongan minoriti. Tiba-tiba teringat pula dengan gelaran kepada mereka yang asing ini, mereka ini digelar mereka "ghuraba".

Islam benar-benar telah disekularkan dalam ideologi manusia masa kini.
Siapa mahu menggalas tanggungjawab membina generasi harapan ummah?

No comments: