Sunday, June 6, 2010

Kembali kepada tarbiyyah

Setiap perkara yang berlaku pasti ada pengajarannya. Peristiwa di Gaza juga tidak terkecuali. Semenjak 1948 sehingga kini, penderitaan di Palestin tidak pernah berakhir. Hanya dunia yang sering terlupa. Maka Allah mengingatkan kita kembali, tahun ini melalui flotilla LL4G.

Ianya bukan sekadar isu kemanusiaan. Bagi seorang Mukmin, Palestin jauh lebih berharga dari itu. Tanah Palestin ialah tanah suci ketiga umat Islam. Di sana kiblat pertama kita sebelum ditukar ke Masjidil Haram. Di sana terletaknya memori Isra' Mi'raj. Al Aqsa menjadi tempat persinggahan Rasulullah di dunia, sebelum naik ke langit. Di situlah Rasulullah SAW mengimami semua nabi yang lain.

Isu Palestin, bagi seorang mukmin, ialah isu akidah. Maka, cara kita berhadapan dengannya tidak cukup dengan hanya mengikuti berita sahaja. Tidak cukup dengan menyatakan ketidakpuashatian semata-mata. Tidak memadai dengan demonstrasi.

Semuanya penting dan perlu dilakukan, tetapi yang lebih penting ialah ia harus kembali kepada usaha untuk mengubah diri kita sendiri, dari seorang yang pro-dunia, kepada seorang yang pro-akhirat. Hubungan dengan Allah SWT perlu diperkemas. Kembali kepada tarbiyyah al-Quran dan as-Sunnah. Dalam surah ar-Ra'd ayat 11, Allah menegaskan Dia tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum itu sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Islah diri kita, ubah pemikiran pesimis kepada optimis, malas kepada rajin, individualistik kepada berukhuwwah, materialistik kepada zuhud, etc..

Mayyit kepada Muharrik.

Bagaimana keadaan diri kita sekarang? Adakah kita sedar tanggungjawab kita sebagai manusia?

Saya kongsikan sebuah sajak oleh As Syahid Abdul Wahab Azam, bertajuk 'Sujud yang Merdeka'. Kata-kata inilah antara ungkapan yang sering dituturkan oleh naqib pertama saya, sehingga ianya melekat ke hari ini.

Sujud itu menundukkan dahi,
tetapi memuliakan manusia yang bertakbir kepada Allah
dan bertasbih kepadaNya

Si Jahil menyangkanya belenggu kepada hamba
Tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu

Di dalam kemuliaan sujud,
semua akan tunduk kepada muslim yang sujud
Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya
Wajah dan seluruh anggotanya diletakkan di muka bumi
Namun dirinya menggoncangkan gunung ganang

Meruntuhkan syirik
menjadi was-was di dalam diri si jahil
tetapi membangunkan segala generasi di dalam
ketenangan
kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi
lantaran kehebatan dan kebesaranNya
sujud kepada Allah dan mengesakanNya, lalu mantap dan
kuat
Terhapuslah setiap penzalim yang sombong

Barangsiapa menghayati sujud ini,
dia menikmati kepimpinan dan ketuanan
di muka bumi, dengan keagungannya, rahmat dan
keindahannya.

No comments: