Wednesday, March 17, 2010

Meninggalkan Maksiat




Antara tanda Allah sayangkan kita ialah Dia menurunkan musibah sebagai peringatan kepada kita. Kita tidak dihancurkan seperti mana umat-umat terdahulu.

Anas b. Malik menemui Ummul Mukminin dan bertanya,

"Wahai ibu, ceritakanlah sebuah hadis yang membicarakan tentang gempa bumi."

Aisyah menjawab,

"Gempa bumi akan terjadi ketika maksiat telah tersebar di tengah-tengah masyarakat, ketika zina telah jelas kelihatan, khamar biasa diminum serta berbagai-bagai dosa besar telah tersebar. Pada saat itulah gempa akan menimpa seluruh umat manusia."

Anas bertanya,

"Apakah gempa bumi itu azab bagi mereka?"

Aisyah menjawab,

"Tidak, demi Allah tidak, tidak, tetapi rahmat dan nasihat bagi orang beriman dan murka bagi orang kafir."

Pada masa yang sama, perlu juga kita ingat, kita tidak inginkan musibah untuk berlaku. Maka tinggalkanlah maksiat, kerana Ali b Abi Talib pernah berkata,

"Musibah hanya akan terjadi kerana perbuatan maksiat. Musibah hanya akan lenyap dengan bertaubat."

Tetapi kadang-kadang, kita berasa hairan melihat mereka yang melakukan maksiat, terus-menerus mendapat nikmat dan kesenangan. Mengapa? Ibnul Qayyim berkata,

"Kegembiraan dalam melakukan kemaksiatan lebih besar dosanya di hadapan Allah daripada maksiat itu sendiri.
Tertawamu ketika melakukan kemaksiatan lebih besar dosanya di hadapan Allah daripada maksiat itu sendiri.
Kurang rasa malumu pada kedua-dua malaikat pencatat amal, padahal mereka sentiasa mengawasimu ketika melakukan maksiat, lebih besar dosanya di hadapan Allah daripada kemaksiatan itu sendiri."

Maka, sekiranya kita terus diberi kenikmatan ketika melakukan maksiat, seharusnya kita takut kerana ianya merupakan istidraj (terbuai, Allah memberi kenikmatan bukan kerana cintaNya kepada kita). Lama-kelamaan, hilang pula perasaan takut kita kepada Allah SWT.

Wallahu'alam

Diolah dari buku "Bangkitlah: Menuju Kehidupan yang lebih Sukses" oleh Amr Khalid.

No comments: