Wednesday, October 12, 2011

Kalau dicampak ke laut menjadi benua (eh?)


Mengimbas kembali video ini yang ditayangkan di penghujung pembentangan Syahadatul Haq beberapa hari lalu mengingatkan saya kepada satu frasa yang popular di kalangan ikhwah akhawat:

Kalau dicampak ke laut menjadi pulau.
Kalau dicampak ke darat menjadi gunung.

Entah dari mana frasa ini datang. Puas juga mencari. Barangkali pujangga dakwah suatu masa dulu. Frasa ini seringkali digunakan untuk memberi suatu gambaran kepada para daie agar sentiasa proaktif dan membawa risalah Islam ke mana sahaja mereka berada. Campaklah mereka ke mana sahaja, mereka akan mampu menyuburkan risalah Islam di persekitaran mereka. Begitulah para sahabat dahulu yang bertebaran ke seluruh dunia menegakkan Islam di mana sahaja mereka berada.

Maka, campaklah mereka ke laut, mereka akan menjadi pulau.

Entah kenapa, apabila cakap sahaja perkataan pulau, imej yang terbayang di dalam kepala ialah gambar pulau dalam bendera Pulau Pinang.

Kecil semacam pulau yang saya gambarkan. Walaupun berasal dari Kepulauan Borneo yang besarnya merentas 3 negara (Brunei, Malaysia dan Indonesia), imej pulau masih agak kecil. Teringat juga gambar-gambar pulau seperti pulau Batu Putih, Labuan dan gugusan-gugusan pulau di sekitar Sabah yang dijaga oleh angkatan tentera kita.

Ini membawa saya kepada satu anjakan baru.
Apa kata kita jadi benua.

Ya, campaklah kita ke mana sahaja. Kita akan jadi benua. Benua yang kukuh, dipasak dengan barisan-barisan banjaran yang tinggi menjulang, penuh dengan dataran dan lembah yang subur, mengalir di dalamnya pelbagai cabang sungai yang bersih lagi membersihkan. Benua yang mampu memberi kehidupan kepada bukan sahaja satu kampung, malah ratusan kampung dan bandar.

Tinggi benar anjakan ini. Saja memotivasikan diri sendiri, lebih-lebih lagi di hari-hari akhir pengajian 5 tahun di bandar Melbourne ini.

Kalau dicampak ke laut menjadi benua!


No comments: