Friday, October 14, 2011

Gelegak Jiwa al-Bara' bin Malik


Generasi sahabat. Penuh dengan individu-individu yang bertaraf lagenda.
Sosok peribadi yang sungguh luar biasa, di luar jangkaan manusia zaman sekarang.
Cuma sayang, sangat sedikit cerita mereka yang sampai kepada kita.
Kalaulah cerita mereka ini disampaikan kepada kita sejak kecil lagi, menggantikan kisah hero-hero berbaju ketat dan berseluar dalam di luar, entah bagaimana tahap pemikiran remaja Islam sekarang.
 
Berikut ialah kisah seorang sahabat Rasulullah S.A.W bernama al-Bara' bin Malik, 
saudara kandung kepada Anas bin Malik, perawi hadis ketiga terbanyak selepas Abu Hurairah dan Abdullah bin Umar.

Rambutnya tidak terurus, pakaiannya berdebu.
Tubuhnya kurus menampakkan tulang.
Mata yang memandangnya akan berpaling ke arah lain kerana tidak selesa menatap beliau. 
Sekali imbas, ibarat imej pengemis homeless masa kini.
Namun apabila di medan perang dalam perlawanan satu lawan satu, beliau berupaya membunuh 100 orang musyrik.
Keberaniannya menyebabkan Umar r.a membuat keputusan untuk tidak melantik dia sebagai pemimpin dalam mana-mana perang sekalipun, kerana dikhuatiri akan membinasakan tentera Islam sendiri.

Kisah al-Bara' ini saya baca setahun yang lepas tetapi gambarannya melekat sehingga ke hari ini.
Gambaran peribadi sahabat ini sungguh luar biasa.

..........


Taman Maut merupakan lapangan yang luas namun ia dilindungi oleh tembok yang tinggi. Si munafik, Musailamah dan ribuan tenteranya menutup pintu dan berkubu di dalam taman tersebut. Dari dalam kubu mereka menghujani tentera Muslimin dengan panah. Panah mereka bagaikan hujan lebat yang turun dari langit.

Ketika itulah wira Islam yang gagah berani al Bara' bin Malik mara dan menjerit.

"Wahai tentera, letakkan saya di atas sebuah perisai, junjung perisau tersebut dengan mata lembing kemudian lontarkan saya ke dalam taman berhampiran dengan pintunya. Sama ada saya syahid atau saya berjaya membuka pintu untuk kamu semua masuk menyerbu mereka."

Sekelip mata al-Bara' bin Malik telah berada di atas sebuah perisai. Tubuh badannya kurus.
Tentera Islam mengangkat perisai tersebut lalu menghumbannya ke dalam taman. 
Beliau hanya sendirian sedangkan ribuan tentera Musailamah sedang menunggu di dalam.

Namun jatuhnya beliau ke dalam taman tersebut bagaikan penahan halilintar menyambar tentera musyrikin.



Beliau terus bertempur dengan menetak dan memenggal mereka sehingga sepuluh tentera musuh menemui maut. Akhirnya beliau berjaya membuka pintu kubu taman tersebut. Meskipun lebih 80 kesan luka di badannya akibat terkena panah, tombak dan pedang. Apabila terbuka sahaja pintu tersebut, tentera Islam terus menyerbu masuk ke Taman Maut. Mereka terus mara menyerang tentera musuh dan berjaya membunuh hampir 20 ribu orang. Akhirnya mereka sampai kepada Musailamah dan berjaya membunuhnya.

.......


Dalam kisah perang yang lain, semasa mengepung kubu tentara Parsi, tentera Parsi bertindak menghulurkan rantai besi daripada atas dinding kota mereka.
Pada hujung rantai tersebut diikat serampang bengkok daripada besi waja yang dibakar.
Apabila terkena pada tentera Islam, ia tersangkut di tubuh badan mereka.
Lalu tentera Parsi mengait mereka ke atas tanpa nyawa lagi atau sekadar nyawa-nyawa ikan.

Salah satu serampang besi panas tersebut melekat pada Anas bin Malik.
Melihat sahaja saudara kandungnya terkena serampang panas tersebut, al-Bara' melompat ke atas dinding kota. Beliau memegang rantai besi yang melekat pada saudaranya itu dan cuba mencabut serampang tersebut keluar daripada badannya.

Tangan al-Bara' terbakar dan berasap, namun beliau tidak menghiraukannya sehingga beliau berjaya menyelamatkan saudara kandungnya. Setelah itu, beliau jatuh ke tanah. Daging tangannya luluh terbakar dan yang kelihatan hanyalah tulang. 



Al-Bara syahid dalam peperangan ini.

............



Mungkin ada satu pengharapan dari penulisan ini.
Semoga jiwa yang membacanya akan mula menggelegak.
Membara dengan nilai Islam.
Sehingga boleh membuat anjakan yang besar dalam kehidupan dan perjuangan Islam.
Berkuranglah semangat yang lemah longlai, mengatakan tidak kepada ini dan itu.

Allahua'lam.

rujukan: Dr Abdul Rahman Ra'fat al-Basha, "65 Gambaran Kehidupan Sahabat" terbitan Pustaka Salam, Jilid 1

No comments: