Monday, March 8, 2010

Salah Faham tentang Senibina


Senibina merupakan antara jurusan ilmu yang tertua di dunia. Sekiranya kita melihat senibina hanya sebagai aktiviti untuk membina ruang untuk kegunaan manusia, ianya boleh dikatakan keperluan asas manusia sejak azali lagi. Tanpanya, tiada tamadun manusia.

Namun ramai sebenarnya yang tidak mengetahui apa sebenarnya senibina. Bercakap sahaja tentang senibina, ramai akan berkata,

“Kerja arkitek melukis sahaja kan?”

Tempoh pengajian seorang pelajar senibina ialah minima 5 tahun. Bagi sesetengah pelajar, mungkin 6 tahun sekiranya dikehendaki bekerja selama 6 bulan atau setahun selepas tempoh 3 tahun pertama pengajian. Adakah mereka belajar melukis sahaja sepanjang 5 atau 6 tahun tersebut?

Secara logiknya, tidak. Mengapa ambil masa yang begitu lama (hampir sama tempoh dengan pelajar perubatan) untuk bergelar arkitek? Banyak lagi perkara yang perlu ada pada seseorang itu sebelum layak digelar arkitek, bukan sekadar melukis. Bahkan, orang yang pandai melukis pun tidak semestinya berjaya menghabiskan tempoh pengajian selama 3 tahun!

Perkara Asas

Kemudian Kami berfirman, “Wahai Adam! Sungguh ini (iblis) musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali jangan sampai dia mengeluarkan kamu berdua dari syurga, nanti kamu celaka. Sungguh, ada (jaminan) untukmu di sana, engkau tidak akan kelaparan dan tidak akan telanjang. dan sungguh, di sana engkau tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari.”

(Taha 20:117-119)

Berdasarkan ayat ini, kita boleh lihat bahawasa secara fitrahnya, manusia memerlukan tiga perkara asas iaitu makanan, pakaian dan tempat berteduh. Senibina dalam konteks ayat ini merujuk kepada tempat berteduh yakni tempat di mana kita ” tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari”. Di sini jugalah terdapat gambaran ringkas tentang tahap keselesaan yang manusia inginkan.

Maka, asas kepada mana-mana senibina ialah menyediakan ruang utk manusia berteduh dan memberi keselesaan kepada penghuninya.

Rekacipta

Antara perkara pertama yang pelajar senibina perlu tahu ialah cara hendak merekacipta (design) dengan betul. Tidak boleh hendak merekacipta semberono sebab merekalah yang akan bertanggungjawab sekiranya bangunan atau rumah yang mereka reka itu menimbulkan pelbagai masalah kepada penghuninya.

Kerja merekacipta perlu menggabungkan ilmu pengetahuan mereka dalam segenap bidang seperti sejarah, teknologi, media komunikasi dan nilai-nilai invidividu untuk menjadi sebuah projek yang lengkap.

Untuk membina sebuah rumah, contohnya, arkitek perlu tahu tentang perangai pelanggannya; bagaimana mereka menggunakan dapur, ruang tidur, bilik mandi, dan sebagainya. Adakah mereka mementingkan privasi, yakni memisahkan antara ruang untuk tetamu dan ruang khas untuk ahli keluarga? Adakah mereka cenderung untuk mempunyai ruang yang fleksibel yang menggabungkan ruang tamu, tempat makan dan dapur? Adakah mereka suka untuk mempunyai laman sebagai ruang santai? Semuanya perlu diambil kira sebelum seorang arkitek boleh menghasilkan rumah yang memuaskan untuk pelanggannya.

Di sepanjang tempoh pengajian, pelajar senibina akan diasah untuk berfikir dan menganalisa secara kritis dan kreatif agar dapat mengkaji sesuatu isu berdasarkan konteks, membuat retrospeksi, menganalisa pelbagai pandangan di dalam isu tersebut dan membentuk pandangan peribadi yang logik dan kukuh. Ia akhirnya akan membentuk peribadi yang unik dalam setiap diri pelajar, dan akan terserlah di dalam bangunan yang mereka bina.

Ilmu Pengetahuan

Antara keperluan asas seorang pelajar senibina ialah ilmu pengetahuan yang luas.


Ilustrasi dari buku “101 Things I learned in Architecture School”

“An architect knows something about everything. An engineer knows everything about one thing.”

(Frederick,Matthew “101 Things I Learned in Architecture School”)

Kata-kata Matthew Frederick tersebut menggambarkan serba sedikit tentang seorang arkitek. Arkitek tahu serba sedikit tentang pelbagai jurusan ilmu, tetapi mereka bukanlah pakar dalam bidang-bidang tersebut. Dengan kata lain, pengetahuan amnya perlu tinggi, cukup tinggi untuk membolehkannya menghasilkan bangunan yang elok.

Contohnya, dari segi teknikal, di dalam industri kelak, arkiteklah yang bakal mengetuai barisan jurutera mekanikal dan struktur, hiasan dalaman, kontraktor, dan pakar-pakar dari bidang lain dalam melaksanakan sesuatu projek. Seringkali dalam sesuatu projek, pandangan dari pelbagai pihak akan bercanggah; struktur tidak betul, kekangan kewangan, hilang nilai estetika dan sebagainya. Di sinilah peranan arkitek. Dia perlu mengetahui tentang semua disiplin ilmu yang terlibat sehingga boleh berbincang dan mencapai keputusan yang memuaskan, bukan sahaja untuk pelanggan malah untuk menjaga integriti seluruh projek.

Komunikasi

Kemahiran untuk menyampaikan ide dengan berkesan, samada secara lisan, visual (hardcopy dan elektronik) dan melalui penulisan merupakan antara kebolehan yang perlu ada pada arkitek. Kemahiran-kemahiran ini tidak dapat diasah dalam masa yang singkat, maka sebab itulah pelajar senibina memerlukan masa yang lama untuk menghabiskan tempoh pengajian.

Di kebanyakan universiti, para pelajar senibina perlu membuat pembentangan hampir setiap minggu, selalunya untuk subjek “Design”. Setiap minggu, tenaga pengajar selalunya sudah menetapkan sasaran tahap kerja yang perlu dicapai oleh semua pelajar. Di dalam setiap sesi inilah pelajar akan diberi peluang untuk mengasah kemahiran berkomukasi dengan berkesan melalui bahan visual, model fizikal dan juga pembentangan atau diskusi secara lisan. Ianya juga menuntut pelajar agar mempunyai skil menguruskan masa dengan elok kerana sekiranya tidak mampu untuk mempamerkan kerja yang memuaskan, dia akan mengalami kesukaran untuk mengejar masa.

Pembentangan yang memerlukan pelajar untuk menyampaikan ide mereka melalui model, lisan dan visual

-Gambar Hiasan-

Di universiti, pelajar juga akan didedahkan dengan pelbagai cara untuk menghasilkan pembentangan visual yang berkesan. Di Royal Melbourne Insititute of Technology (RMIT) University, pelajar akan didedahkan dengan software grafik seperti Adobe Photoshop, Adobe Indesign, Rhinoceros dan sebagainya. Pelajar juga perlu mengetahui kaedah membuat model dengan cepat dan berkesan.

Contoh bahan pembentangan visual yang perlu dihasilkan oleh pelajar senibina

(sumber)

Kemahiran menulis pula selalunya akan diajar di dalam subjek sejarah di mana pelajar perlu menganalisa dan membuat kajian yang terperinci dan seterusnya menyalurkan pemikiran mereka ke dalam penulisan.

Secara ringkasnya, itulah gambaran yang sebenar tentang seorang arkitek, ataupun perkara-perkara asas yang perlu ada pada pelajar senibina. Jurusan ilmu dan seni membina ini bukanlah suatu bidang yang hanya menuntut orang yang mahir dalam melukis semata-mata. Ianya lebih dari itu. Tanggungjawab pakar senibina amat besar dan mereka yang menggalasnya perlu mempunyai integriti dan akauntabiliti.

Disediakan oleh

Mohammad Afiq Shazwan
Master of Architecture
RMIT University

Rujukan:

Matthew Frederick 2007, “101 Things I Learned in Architecture School“, The MIT Press, Cambirdge, Massachussetts

Ismawi Zen, Shireen Jahn Kassim, Norwina Mohd Nawawi (ed.), 2009 “An Anthology of Essays on Integrating Islamic Value in the Theory and Practice of Architecture and The Built Environment“, Kuliyyah of Architecture and Environmental Design, IIUM, Malaysia.

Spiro Kostov 1995, “A History of Architecture: Settings and Rituals” 2nd Edition, Oxford University Press, New York

posted in ISMA Australia

5 comments:

mun'aim idrus said...

salam taaruf. ana dari sarawak. tulisan anta menarik. boleh kita berkenalan sebagai muslim?

Unknown said...

wassalam wrm wbt

salam perkenalan akhi. moga dapat berjumpa nanti. ana asal kuching. =)

Unknown said...

saye pelajar teknologi senibina di kolej bawah utm.... bnyk ke perbezaan antare coarse ni dgn senibina?

nurul izza said...

salam...

saya tertarik dgn tulisan ini..buah fikiran yang menarik mengenai senibina..

maafkan saya kerna share tulisan ini kepada students sya tanpa meminta izin...

Unknown said...

Nurfasehatarmizi, saya minta maaf sbb tak pasti mcm mana course teknologi senibina tu. Kena tgk silibus dulu kot. Tgk comparison. Bunyi macam lain.

Nurul Izza, terima kasih. Boleh sy tahu saudari mengajar di mana?