Pemandangan Kampung Selamatong, dari Masjid Nurul Islam |
1. Majoriti penduduk di Kampung Semalatong adalah berbangsa Iban. Majoriti beragama Muslim. Ada yang sudah pun masuk generasi ketiga sebagai Muslim.
2. Sepanjang kami bermusafir selama 2 hari ke Semalatong, kami menumpang di Masjid Nurul Islam, Kampung Semalatong. Alhamdulillah, ruh Islam masih mampu bernafas sedikit di sini. Masih ada masjid dan surau yang menjadi tempat berkumpul masyarakat Islam di sini. Walau bagaimanapun, mereka masih memerlukan panduan yang berterusan supaya mereka dapat beramal dengan cara yang betul.
3. Semasa jamuan makan malam di Masjid, saya sempat berkenalan dengan seorang pendakwah muda berumur 23 tahun. Faisal namanya; anak Melayu yang menjadi pendakwah bebas dan memperuntukkan masanya kini untuk berdakwah di Semalatong. Beliau berasal dari Belaga; tempat yang jauh di pedalaman, 4-5 jam perjalanan menaiki bot dari Kapit. Semoga kesungguhannya untuk berdakwah dalam usia yang begitu muda mendapat kemuliaan di sisi Allah.
4. Permusafiran kami ke sana memberi sedikit keinsafan bahawasanya, medan amal kami di bandar sebenarnya masih dalam zon selesa. Keadaan masyarakat yang jauh dari suasana Islami di sana kadang-kadang boleh menyebabkan kita yang dari bandar ini tergamam. Ada di kalangan aktivis ISMA yang mengikuti permusafiran ini mengaku, beliau tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Alhamdulillah, aktiviti ramah mesra bersama penduduk kampung pada malam tersebut memberi peluang untuk interaksi yang lebih mendalam.
5. Permusafiran ini juga sebenarnya bukanlah semata-mata untuk mendekati saudara-saudara Islam di Semalatong. Pengalaman yang lebih berharga adalah pada nilai ukhuwwah yang lahir sepanjang perjalanan dan peluang untuk mengenali lebih rapat individu-individu hebat di kalangan aktivis muda ISMA.
6. Ada di kalangan kami yang baru dua tahun memeluk Islam, tetapi sudah aktif dalam dakwah dan tarbiyah. Kami memanggilnya Mac. Seperti kebanyakan muallaf yang lain, perjalanannya bukan mudah. Tentangan keluarga, persepsi umum terhadap Melayu dan Islam, dan pertarungan dalaman untuk mempertahankan keimanan dan ikatan aqidah. Sejak darjah 3 sehinggalah beliau memeluk Islam ketika ketika baru hendak melangkah ke alam universiti, beliau telah mula berfikir tentang persoalan-persoalan besar dalam kehidupan, seperti, apakah agama yang sebenarnya yang boleh membawa ke syurga. Beliau telah pun membuat perbandingan agama atas inisiatif sendiri. Beliau telah pun berusaha untuk membaca tafsir Quran. Beliau telah pun mempersoalkan perbezaan antara kesempurnaan agama dan kesempurnaan penganutnya. Beliau tahu, agama Islam itu sempurna, tetapi bukan penganutnya. Persoalan-persoalan kehidupan ini telah pun berlegar dalam pemikirannya di usia yang muda.
7. Saya juga sempat mengenali lebih rapat saudara saya, Syzwan dari Sabah. Keturunan Kadazan Dusun. Kisah keluarganya juga hebat. Ibunya memeluk Islam ketika zaman persekolahan, hasil dari persahabatan dengan seorang guru, kemudian melanjutkan pelajaran di sekolah pondok di Kelantan. Ibunya balik ke Sabah sebagai seorang Ustazah. Allah kurniakan juga kelebihan kepada ibunya dengan kemahiran bertaranum. Ibunya lah juga telah mengajarnya bertaranum. Bakat Syzwan memang terserlah. Sepanjang perjalanan, ada sahaja lagu yang dia nyanyi. Saat tiba di Masjid Nurul Islam, Kampung Semalatong, Syzwan diminta menjadi bilal. Alunan suara azannya berkumandang di segenap pelusuk kampung. Apabila diamati suasana ini, dan dikenang kembali sejarah pengislaman ibunya, Allah seolah-olah hendak mengajar bahawa ada sesetengah amal yang diangkat sehingga memberi manfaat yang sangat besar kepada ummah. Usaha dakwah guru yang menjadi asbab kepada pengislaman ibu Syzwan dahulu adalah salah satu amal yang diberkati.
No comments:
Post a Comment