Monday, December 3, 2012

Pesanan kepada pesakit tasya'um a.k.a pesimisme

Minda pesimis banyak beri alasan. Tapi ini... tapi itu...

Sehingga tidak sedar ia membawa 2 dosa. Pertama
ia menyebabkan amal tidak berjalan. Kedua ia menyebabkan orang lain tidak beramal.

Minda pesimis ini lebih parah kesannya apabila ia ada dalam diri pimpinan, kerana ia akan diikuti oleh kebanyakan pengikut, sepertimana bayang-bayang mengikuti batang pokok yang bengkok.

Minda pesimis adalah antara penyakit berbahaya yang dihadapi oleh para duat, seperti yang tercatat di dalam buku Afatun Ala Tariq (Penyakit atas Jalan Dakwah) oleh Dr Syed Muhammad Nuh.

Kita harus berubah.

Selamat tinggal minda pesimis, insyaAllah.
(status facebook 30 November 2012)

Sekiranya ada satu tabiat yang boleh saya ubah dengan hanya memohon doa maka saya akan terus dapat mengubahnya, saya akan memilih untuk mengubah sikap pesimis saya.

Fitrah manusia, biasalah, sentiasa mengira-ngira apa yang bakal berlaku pada masa depan. Apa akan jadi kalau begini ... kalau begitu.

Tapi ini ... tapi itu ....

1001 alasan sudah keluar dari mulut diri ini.
Dan entah berapa banyak amal sudah tertahan sebabnya.
Dan entah berapa ramai juga yang telah mendapat jangkitan penyakit ini...

Inilah sebenarnya penyakit tasya'um a.k.a pesimisme.

Bagaimana bentuk pesimis dalam timbangan Islam?

Kalau ia hanya sekadar mengira dan meramal terjadinya sesuatu yang buruk sebagai akibat dari peristiwa-peristiwa tertentu, berserta pengalaman dan kebiasaan menunjukkan bahawa perkiraan itu seringkali benar dan tepat, lalu disertai dengan keyakinan bahawa segala sesuatu berada di tangan Allah ...

tetapi peristiwa ini sama sekali tidak memiliki pengaruh sedikit pun terhadap dirinya kecuali di atas izin Allah,

dan peristiwa ini sama sekali tidak membuatkannya mundur dari melanjutkan perjalanan dan merealisasikan tujuannya.

Pesimisme sebegini hukumnya tidak mengapa.


Faiza azamta fatawakkal alallah

فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (3:159)

"Pesimis (kerana melihat peristiwa tertentu) termasuk kesyirikan, dan tidak ada seorang pun di antara kita melainkan telah bersikap pesimis, akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal." (Hadis riwayat Abu Daud)

Syirik kerana menganggap hal yang dirisaukannya itu boleh mendatangkan manfaat dan mudarat, seolah-olah meletakkan ia sama dengan Allah SWT. Begitulah komen Ibn Hajar.

Komen Ibn Hajar lagi, terhadap sabda baginda "Akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal" ialah sebagai tanda bahawa apabila seseorang bersikap pesimis, lalu ia berserah diri kepada Allah dan tidak mempedulikan rasa pesimis itu, maka ia tidak akan dihukum atas sikap pesimis yang menjangkitinya.

Bangkitlah, sedarilah ketinggian darjat kita sebagai manusia di atas hamparan dunia

"Ketika Allah menciptakan bumi, maka bumi itu pun berputar sehingga Allah menciptakan gunung-ganag dan menancapkannya pada bumi sehingga ia tenang. Malaikat pun merasa kagum dengan penciptaan gunung-ganang tersebut seraya bertanya, "Wahai Tuhan kami, adakah di antara makhlukMu yang lebih hebat dari gunung-ganang?" Allah berfirman, "Ya besi." Mereka bertanya, "Wahai Tuhan kami, adakah di antara makhlukMPu yang lebih hebat dari besi?" Allah berfirman, "Ya, Api." Mereka bertanya, "Wahai Tuhan kami, adakah di antara makhlukMu yang lebih hebat dari api?" Allah berfirman, "Ya, air." Mereka bertanya "Wahai Tuhan kami, adakah di antara makhlukMu yang lebih hebat dari air?" Allah berfirman, "Ya, angin." Mereka bertanya, "Wahai Tuhan kami, adakah di antara makhlukMu yang lebih hebat dari angin?" Allah berfirman, "Ya, Anak Adam, ia bersedekah dengan tangan kanannya dan menyembunyikannya dari tangan kirinya." (Hadis riwayat Ahmad, Al-Musnad 3/124)

Bangkitlah, wahai saudara. Kita hanya perlu melawan nafsu, kuatkan jiwa, berusaha sehabis mungkin. Kita perlu sentiasa sedar akan hakikat kehidupan kita sebagai manusia yang telah disempurnakan penciptaannya oleh Allah SWT. Kita diturunkan sebagai khalifah. Mengapa harus pesimis dan berjiwa lemah dengan andaian-andaian yang belum pasti?

Mari berubah.

Ucapkan selamat tinggal kepada minda pesimis.

rujukan:
"'Afatun 'ala Ath-Thariq: Terapi Ruhiyah Aktivis Dakwah" karangan Dr Sayyid Muhammad Nuh.

Friday, June 8, 2012

Tarbiyah bit tajribah. Tarbiyah atas pengalaman orang terdahulu.


Jemput baca cerita ini!


Tarbiyah bit tajribah. Tarbiyah atas pengalaman orang terdahulu.

Dalam mengorak langkah dalam dunia dakwah dan tarbiyah, saya rasa ada satu perkara yang perlu difahami oleh para daie. Kita ini bukannya generasi perintis. Kita sebenarnya ialah generasi penyambung rantaian dakwah yang panjang. Sebelum kita telah lahir ramai generasi daie yang bergerak di atas fikrah yang sama. Maka kita tidak perlu bermula dari kosong. Biar kita bergerak berdasarkan pengalaman orang terdahulu.

Bayangkan berapa ratus tahun sudah berlalu semenjak Rasulullah memulakan dakwah di Makkah. Bayangkan juga pengalaman jutaan para daie yang memperjuangkan risalah ini atas manhaj nubuwwah dari dulu sampai sekarang. Apabila kita bergerak berdasarkan pengalaman-pengalaman ini, gerak kerja kita ini sebenarnya melambangkan gerak kerja yang sangat matang, menggunakan pengalaman manusia zaman demi zaman.

Cuma kadang-kadang cerita-cerita pengalaman orang terdahulu tidak diwariskan kepada generasi baru. Samada mereka terlalu sibuk sehingga tiada masa hendak menulis, ataupun mereka kurang nampak kepentingan menceritakan pengalaman mereka ini kepada generasi baru. Apa yang kita mahu bukanlah cerita itu semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah fiqh dan ruh dakwah yang bernafas dalam cerita tersebut. Tentu ada sebab mengapa cerita nabi-nabi terdahulu diceritakan kepada Nabi Muhammad dan para sahabat.

Kita ialah generasi penyambung. Apa yang kita pelajari dari orang terdahulu perlu diamalkan. Apa yang kita belajar, perlu diwariskan pula kepada generasi seterusnya.

Ini bukan teori dakwah. Ini sunnah alam. Semua lapangan ilmu di dunia ada sejarahnya tersendiri. Manusia tidak membina bangunan tanpa melihat kepada kepada contoh-contoh terdahulu. Ilmu sains hanya mampu berkembang berdasarkan eksperimen-eksperimen terdahulu.

Allahua'lam.

Monday, June 4, 2012

Kepimpinan tanpa melihat posisi



Kepimpinan bukannya posisi semata-mata. Ia adalah pilihan bagi sesiapa yang mahu.
Seorang pemimpin tidak semestinya digelar Tuan, Bos, YDP, Menteri, Presiden atau Pengerusi.
Seorang yang berjawatan pengikut juga sebenarnya boleh menjadi seorang pemimpin secara maknawinya.


Seorang pengikut seharusnya melengkapi pimpinan. Secara zahirnya pengikut. Secara maknawinya ia seorang pemimpin. Suaranya didengari. Pandangannya diambil kira. Tanpa dirinya, pimpinan akan lemah. Adanya ia, kepimpinan akan menjadi kukuh.


Cuba lihat sirah generasi Khulafa' ar-Rasyidin. Cerita Khilafah Abu Bakr dan Umar al-Khattab.
Abu Bakar seorang yang pemaaf dan lemah lembut. Jiwanya penuh dengan kasih sayang. Pendiriannya tenang dan pemaaf. Umar pula seorang yang tegar dan keras. Gabungan duo ini menghasilkan kekuatan negara dan kehebatan kuasa.

Abu Bakr sentiasa mengambil pandangan Umar r.a dan melaksanakan pendapatnya. Hinggakan satu ketika, Abu Bakr mengeluarkan suatu perintah, namun Umar tidak melaksanakannya. Lalu para sahabat bertemu Abu Bakr r.a. dan menegur beliau: "Demi Allah kami tidak tahu siapakah khalifah, kamu atau Umar?" Jawab Abu Bakr, "Dia, kalau dia mahu (menjadi kahlifah)."

Ketika di Saqifah Bani Sa'idah, Umar berkata kepada Abu Bakr: "Kamu lebih layak berbanding saya." Abu Bakr menjawab: "Tetapi kamu lebih kuat daripada saya..." Lantas Umar mencelah: "Sesungguhnya kekuatan saya akan bersama dengan kelebihanmu."

Begitulah dua tokoh agung saling bekerjasama membina mercu negara Islam. Abu Bakr dengan kelebihan, pemaaf, cerdik dan ketegasannya bergabung dengan kekuatan, sikap keras dan kehebatan Umar.

Perbezaan karakter itu diraikan, maka terhasillah sinergi yang meledakkan potensi yang wujud dalam perbezaan itu. Untuk ini, ia memerlukan kedua-dua pihak melepaskan kepentingan diri masing-masing dan memanfaatkan perbezaan yang ada.

Saya kira paradigma kepimpinan sebegini merupakan sunnah dalam memimpin. Memimpin bukan dalam erti kata posisi semata-mata. Mereka yang membaca teori-teori falsafah Barat tentang kepimpinan pasti tahu tentang ini. 8th Habit oleh Steven Covey dan Blue Ocean Strategy oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborgne merupakan antara falsafah yang membicarakan tentang hal ini. Sangat banyak cerita dan petikan ayat yang diberikan.

"Complement, don't criticize, your boss." Diceritakan di dalam buku 8th Habit tentang kisah seorang pekerja di dalam sebuah organisasi. Pemimpinnya merupakan seorang yang berwawasan tinggi. Cuma kerjanya hanya tahu memberi arahan. Pekerja-pekerja yang pada awalnya merupakan pekerja-pekerja yang berkualiti dan berwawasan akhirnya menjadi pak turut yang sentiasa merungut dengan kerja-kerja. Bagai robot, cuma diberikan mulut untuk meluahkan perasaan. Sehinggalah pada suatu hari, seorang pekerja mengambil INISIATIF untuk menganalisa keperluan pemimpinnya. Apabila dia memberi cadangan, pandangannya didengari. Dia mula dijemput untuk menghadiri mesyuarat. Tiba satu ketika di mana pemimpinnya tidak akan membuat keputusan selagi tidak meminta pendapatnya dahulu.

Allahua'lam.

sumber: 
Asas-asas Islam 1, Modul Pembangunan Insan, Ikatan Muslimin Malaysia - ISMA
The 8th Habit, S. Covey