Kepimpinan bukannya posisi semata-mata. Ia adalah pilihan bagi sesiapa yang mahu.
Seorang pemimpin tidak semestinya digelar Tuan, Bos, YDP, Menteri, Presiden atau Pengerusi.
Seorang yang berjawatan pengikut juga sebenarnya boleh menjadi seorang pemimpin secara maknawinya.
Seorang pengikut seharusnya melengkapi pimpinan. Secara zahirnya pengikut. Secara maknawinya ia seorang pemimpin. Suaranya didengari. Pandangannya diambil kira. Tanpa dirinya, pimpinan akan lemah. Adanya ia, kepimpinan akan menjadi kukuh.
Cuba lihat sirah generasi Khulafa' ar-Rasyidin. Cerita Khilafah Abu Bakr dan Umar al-Khattab.
Abu Bakar seorang yang pemaaf dan lemah lembut. Jiwanya penuh dengan kasih sayang. Pendiriannya tenang dan pemaaf. Umar pula seorang yang tegar dan keras. Gabungan duo ini menghasilkan kekuatan negara dan kehebatan kuasa.
Abu Bakr sentiasa mengambil pandangan Umar r.a dan melaksanakan pendapatnya. Hinggakan satu ketika, Abu Bakr mengeluarkan suatu perintah, namun Umar tidak melaksanakannya. Lalu para sahabat bertemu Abu Bakr r.a. dan menegur beliau: "Demi Allah kami tidak tahu siapakah khalifah, kamu atau Umar?" Jawab Abu Bakr, "Dia, kalau dia mahu (menjadi kahlifah)."
Ketika di Saqifah Bani Sa'idah, Umar berkata kepada Abu Bakr: "Kamu lebih layak berbanding saya." Abu Bakr menjawab: "Tetapi kamu lebih kuat daripada saya..." Lantas Umar mencelah: "Sesungguhnya kekuatan saya akan bersama dengan kelebihanmu."
Begitulah dua tokoh agung saling bekerjasama membina mercu negara Islam. Abu Bakr dengan kelebihan, pemaaf, cerdik dan ketegasannya bergabung dengan kekuatan, sikap keras dan kehebatan Umar.
Perbezaan karakter itu diraikan, maka terhasillah sinergi yang meledakkan potensi yang wujud dalam perbezaan itu. Untuk ini, ia memerlukan kedua-dua pihak melepaskan kepentingan diri masing-masing dan memanfaatkan perbezaan yang ada.
Saya kira paradigma kepimpinan sebegini merupakan sunnah dalam memimpin. Memimpin bukan dalam erti kata posisi semata-mata. Mereka yang membaca teori-teori falsafah Barat tentang kepimpinan pasti tahu tentang ini. 8th Habit oleh Steven Covey dan Blue Ocean Strategy oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborgne merupakan antara falsafah yang membicarakan tentang hal ini. Sangat banyak cerita dan petikan ayat yang diberikan.
"Complement, don't criticize, your boss." Diceritakan di dalam buku 8th Habit tentang kisah seorang pekerja di dalam sebuah organisasi. Pemimpinnya merupakan seorang yang berwawasan tinggi. Cuma kerjanya hanya tahu memberi arahan. Pekerja-pekerja yang pada awalnya merupakan pekerja-pekerja yang berkualiti dan berwawasan akhirnya menjadi pak turut yang sentiasa merungut dengan kerja-kerja. Bagai robot, cuma diberikan mulut untuk meluahkan perasaan. Sehinggalah pada suatu hari, seorang pekerja mengambil INISIATIF untuk menganalisa keperluan pemimpinnya. Apabila dia memberi cadangan, pandangannya didengari. Dia mula dijemput untuk menghadiri mesyuarat. Tiba satu ketika di mana pemimpinnya tidak akan membuat keputusan selagi tidak meminta pendapatnya dahulu.
Allahua'lam.
sumber:
Asas-asas Islam 1, Modul Pembangunan Insan, Ikatan Muslimin Malaysia - ISMA
The 8th Habit, S. Covey
No comments:
Post a Comment