Monday, November 16, 2009

Faham dan sebatikan dalam diri


Kebanyakan masa, kita tidak perlu banyak berkata.
Cukup dengan qudwah.
Masyarakat sekeliling akan dapat melihat.

Kerana di dalam qudwah terdapat manifestasi fikrah.
Dalam diam, masyarakat akan faham.
Seperti iman.
Ianya terserlah di dalam amal, bukannya perkataan semata-mata.
Kita tidak mementingkan propaganda.

Namun, kadang-kadang, qudwah itulah yang sukar ditonjolkan.
Tidak mengapa.
Tarbiyah itu berterusan.
Kita hanya perlu beristiqamah. Sikit-sikit, tetapi kerap.
Bukankah Rasulullah bersabda, "Qul amantu billah, thummastaqim"?
Katakanlah, aku beriman kepada Allah. Lalu beristiqamahlah.

Sunday, November 15, 2009

Rawak. Pemerhatian akhir-akhir ini.

Bertahun-tahun ditarbiyyah, sejauh mana kita mengerti erti ukhuwah.
Seorang ikhwah senior pernah menegur kami yang masih berada di Melbourne, ukhuwah kami tidak basah. Saya pening, apa yang tidak basahnya?

Nak dikatakan bergaduh, tidak. Selalu sahaja bergembira bersama. Bermain bersama. Bekerja bersama. Hadir qiam bersama. Daurah, tamrin, etc.. Sering meluahkan perasaan sesama sendiri. Entah di mana yang dikatakan tidak basah.

Kata-kata ikhwah tersebut sentiasa bermain-main di fikiran.

Sehingga apabila diuji sedikit, makna ukhuwah itu mula nampak.

Ukhuwah itu hanyalah atas dasar perjuangan. Kerana perjuangan, segala konflik diabaikan. Ianya perkara yang remeh. Di depan kita, ada masalah yang lebih besar untuk diselesaikan. Apabila ini difahami, segala takrif ukhuwah yang kita kenali sebelum ini akan datang sebagai bonus.

Dan sungguh, ukhuwah atas dasar perjuangan ini jauh lebih manis. Ianya manis dalam setiap perilaku. Setiap pertemuan dan perbincangan tidak akan lari dari topik yang sama. Perjuangan. Dakwah dan tarbiyyah. Cuma, mungkin sekarang, ianya tidak dapat dikecapi bersama semua ikhwah, kerana setiap ikhwah ada tahap penerimaan yang berlainan. Perkembangan yang tidak sama laju. Mungkin suatu hari nanti.

Thursday, November 12, 2009

Nuruddin Zangi vs Salahuddin (?)

Ilustrasi Salahuddin al Ayyubi

Hubungan antara Sultan Nuruddin al Zangi dan Salahuddin al Ayyubi sangat akrab. Bahkan, hubungan mereka itu bukan sekadar hubungan antara 2 individu, tetapi ianya hubungan yang mengikat kedua-dua keluarga; keluarga Zangi dan keluarga Ayyub. Ianya bermula apabila Ayyub memberi bantuan kepada Imaduddin al Zangi semasa Imaduddin dikejar oleh tentera khalifah yang baru sahaja naik takhta pada masa itu.

Hubungan rapat ini terserlah apabila Sultan Nuruddin memberi tauliah kepada Salahuddin al Ayyubi untuk menjadi wakil baginda di seluruh tanah Mesir, berpusat di Kaherah (Cairo), sementara baginda sendiri menjaga wilayah Islam yang merangkumi tanah Palestin, Jordan, Syria, dan sekitarnya (Asia Minor).

Namun, entah bagaimana, hubungan mereka semakin renggang setelah Salahuddin menjadi pemerintah Mesir. Salahuddin sentiasa cuba mengelak daripada berjumpa dengan Sultan Nuruddin, walaupun telah dipanggil berulang kali. Hal ini berlarutan, tanpa ada sesiapa pun yang mengetahui, hatta keluarga mereka sendiri. Hanya melalui catatan sirah dari Ibnu Athir perkara ini diketahui.

Mengapa?

Mengapa hubungan itu menjadi renggang, walaupun tiada apa yang menjadi punca pertelingkahan?

Kuasa? Tidak mungkin kerana kedua-dua individu ini tidak memandang kepada hal keduniaan, lebih-lebih lagi Salahuddin.

Kadang-kadang, perkara pelik sebegini berlaku. Namun pada akhirnya, perjuangan mereka tetap sama, tetap berjalan. 'Pertelingkahan' yang entah dari mana menjadi perkara remeh. Islam tetap gah di seluruh tanah Arab di bawah pemerintahan keluarga Zangi. Setelah Nuruddin mangkat, Islam juga terus menyinar di bawah pemerintahan keluarga Ayyub.

* ulasan dari buku "The Crusades through Arab Eyes" oleh Amin Maalouf.