Thursday, November 12, 2009

Nuruddin Zangi vs Salahuddin (?)

Ilustrasi Salahuddin al Ayyubi

Hubungan antara Sultan Nuruddin al Zangi dan Salahuddin al Ayyubi sangat akrab. Bahkan, hubungan mereka itu bukan sekadar hubungan antara 2 individu, tetapi ianya hubungan yang mengikat kedua-dua keluarga; keluarga Zangi dan keluarga Ayyub. Ianya bermula apabila Ayyub memberi bantuan kepada Imaduddin al Zangi semasa Imaduddin dikejar oleh tentera khalifah yang baru sahaja naik takhta pada masa itu.

Hubungan rapat ini terserlah apabila Sultan Nuruddin memberi tauliah kepada Salahuddin al Ayyubi untuk menjadi wakil baginda di seluruh tanah Mesir, berpusat di Kaherah (Cairo), sementara baginda sendiri menjaga wilayah Islam yang merangkumi tanah Palestin, Jordan, Syria, dan sekitarnya (Asia Minor).

Namun, entah bagaimana, hubungan mereka semakin renggang setelah Salahuddin menjadi pemerintah Mesir. Salahuddin sentiasa cuba mengelak daripada berjumpa dengan Sultan Nuruddin, walaupun telah dipanggil berulang kali. Hal ini berlarutan, tanpa ada sesiapa pun yang mengetahui, hatta keluarga mereka sendiri. Hanya melalui catatan sirah dari Ibnu Athir perkara ini diketahui.

Mengapa?

Mengapa hubungan itu menjadi renggang, walaupun tiada apa yang menjadi punca pertelingkahan?

Kuasa? Tidak mungkin kerana kedua-dua individu ini tidak memandang kepada hal keduniaan, lebih-lebih lagi Salahuddin.

Kadang-kadang, perkara pelik sebegini berlaku. Namun pada akhirnya, perjuangan mereka tetap sama, tetap berjalan. 'Pertelingkahan' yang entah dari mana menjadi perkara remeh. Islam tetap gah di seluruh tanah Arab di bawah pemerintahan keluarga Zangi. Setelah Nuruddin mangkat, Islam juga terus menyinar di bawah pemerintahan keluarga Ayyub.

* ulasan dari buku "The Crusades through Arab Eyes" oleh Amin Maalouf.

No comments: