Jemput baca cerita ini!
Tarbiyah bit tajribah. Tarbiyah atas pengalaman orang terdahulu.
Dalam mengorak langkah dalam dunia dakwah dan tarbiyah, saya rasa ada satu perkara yang perlu difahami oleh para daie. Kita ini bukannya generasi perintis. Kita sebenarnya ialah generasi penyambung rantaian dakwah yang panjang. Sebelum kita telah lahir ramai generasi daie yang bergerak di atas fikrah yang sama. Maka kita tidak perlu bermula dari kosong. Biar kita bergerak berdasarkan pengalaman orang terdahulu.
Bayangkan berapa ratus tahun sudah berlalu semenjak Rasulullah memulakan dakwah di Makkah. Bayangkan juga pengalaman jutaan para daie yang memperjuangkan risalah ini atas manhaj nubuwwah dari dulu sampai sekarang. Apabila kita bergerak berdasarkan pengalaman-pengalaman ini, gerak kerja kita ini sebenarnya melambangkan gerak kerja yang sangat matang, menggunakan pengalaman manusia zaman demi zaman.
Cuma kadang-kadang cerita-cerita pengalaman orang terdahulu tidak diwariskan kepada generasi baru. Samada mereka terlalu sibuk sehingga tiada masa hendak menulis, ataupun mereka kurang nampak kepentingan menceritakan pengalaman mereka ini kepada generasi baru. Apa yang kita mahu bukanlah cerita itu semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah fiqh dan ruh dakwah yang bernafas dalam cerita tersebut. Tentu ada sebab mengapa cerita nabi-nabi terdahulu diceritakan kepada Nabi Muhammad dan para sahabat.
Kita ialah generasi penyambung. Apa yang kita pelajari dari orang terdahulu perlu diamalkan. Apa yang kita belajar, perlu diwariskan pula kepada generasi seterusnya.
Ini bukan teori dakwah. Ini sunnah alam. Semua lapangan ilmu di dunia ada sejarahnya tersendiri. Manusia tidak membina bangunan tanpa melihat kepada kepada contoh-contoh terdahulu. Ilmu sains hanya mampu berkembang berdasarkan eksperimen-eksperimen terdahulu.
Allahua'lam.