Sunday, May 6, 2012

Klon, Pujian, Roda dan Ikhlas

  1. Ada ketika di mana aku terfikir, alangkah baiknya sekiranya ada cara untuk menduakan diri. Instant clone. Boleh tolong buat kerja. Tapi mengenangkan kemustahilan bayangan itu, hendak atau tidak, kerja dan taklifan akan sentiasa mendatang. Akhirnya, hanya mereka yang pandai meletakkan prioriti, menguruskan masa, urusan dan tenaga sahaja yang boleh menghadapi semua taklifan dengan baik. Itu pun kalau dengan izin Allah SWT. Oh manusia. Hakikatmu ini sangat lemah.
  2. Akan ada jua masa apabila kita merasakan kejayaan itu datang bersama pujian. Bagi yang tidak merenung keadaan hatinya, ia akan mudah merasa gembira. Setakat itu saja, tiada masalah. Masalahnya apabila jiwa itu lemah, gembira itu bertukar menjadi bangga. Mulalah timbul bibit-bibit bongkak. Maka, apabila menerima kejayaan; program berjaya, keputusan diterima oleh syuro, idea yang dilontarkan menarik dan menjadi, kata-kata didengari, dijemput menjadi penceramah di sana sini, dan macam-macam lagi, BERISTIGHFARLAH. Kecutkan pembuluh darah, halau syaitan, kawal nafsu dan ego.
  3. Tugas media macam roda yang sedang menuruni bukit. Kerjanya tak pernah berhenti. Entah bila akan sampai ke kaki bukit. Apa-apapun, biarlah apabila sampai ke kaki bukit, cerun bukit itu curam. Biarlah putaran roda itu terhenti tatkala ia sedang berputar pada kelajuan maksimum. Biar ia berakhir dengan amalnya yang terbaik.
  4. Saat beramal di hadapan manusia, perlu sentiasa untuk ikhlaskan hati. Kalau anda seorang yang mudah merasa bangga dan suka dipuji, lebih baik biasakan diri dengan buat kerja-kerja bawahan. Susunlah kerusi, susunlah meja, angkatlah barang, kemaskan tempat, buang sampah, biar kita yang berpeluh, jangan orang lain berpeluh. Ada yang beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga ia sangat hampir dengan syurga, tetapi ketetapan Allah mendahului, lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia pun memasukinya. Hadis dari hadis 40 ini sungguh menakutkan, dan juga merendahkan ego kita kerana ia menunjukkan kelemahan kita yang ultimate.


No comments: