Sunday, May 13, 2012

Aku Sekeping Logam Mentah



Aku sekeping logam mentah. Aku berasal dari tanah. Seluruh alam tahu kewujudan dan nilai yang ada pada aku. Tetapi hidupku dalam kegelapan. Ditemani cacing dan kumbang-kumbang tanah.Sesekali terdengar suara-suara dari dunia sana.

Satu hari Salama menjumpai aku. Dimasukkan aku ke dalam mesin penempa mata wang, lalu lahirlah aku sebagai sekeping duit yang berharga. Kehidupanku berubah 180 darjah.
Ke mana sahaja aku pergi aku digunakan untuk urusan jual beli barang dan servis.
Semua orang menghargai aku.



Dahulu aku sekeping logam mentah, kini aku sekeping duit yang bernilai.
 
Begitulah perumpamaan seorang Muslim. Islam ingin manusia memperbetulkan dahulu sistem jiwanya. Apabila sudah ada keyakinan yang benar dan halatuju yang sejahtera, maka semua amalan dalam kehidupannya berubah menjadi ketaatan kepada Allah.

Begitulah perumpamaan seorang Muslim yang mengurus hal ehwal dunianya agar ia seluruh kehidupannya menjadi ibadah. Hakikat iman dan keunggulan halatujunya melimpah ke dalam urusan dunia sehingga apa saja usaha yang dilakukannya bertukar menjadi ibadah yang tinggi nilainya. Oleh itu dalam urusan kehidupan, amal soleh tidak terbatas dan tidak terhenti.

(olahan ungkapan Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya 'Inilah Agama Kita')

Khas kepada an-Najm, moga seluruh kehidupanmu bertemasya ke syurga dengan mujahadah yang sebenar-benarnya.

rujukan:
petikan Al-'Ibadah fi al-Islam, Dr Yusuf al-Qardhawi
dari Bab Tujuan Penciptaan Manusia, Asas-asas Islam: Modul Pembangunan Insan 2, Ikatan Muslimin Malaysia)

Friday, May 11, 2012

Cerita musolla di Australia dan politik di Malaysia.

Hari ini 10 Mei. Tiba-tiba teringat kisah kami pelajar-pelajar Muslim membuat protes selama lebih kurang setahun untuk menuntut pihak universiti memberi hak ekslusif musolla (ruang solat) kepada kami sahaja.

Kisahnya bermula apabila musolla kami yang lama, sebuah teratak kayu kecil di atas bumbung bangunan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan beberapa tingkat baru. Kami diberikan sedikit ruang di salah sebuah bilik di universiti untuk menunaikan solat dan kami dijanjikan sebuah musolla baru dalam masa beberapa bulan.

Hendak dipendekkan cerita, kami diberikan musolla tersebut, tetapi kami perlu berkongsi ruang tersebut dengan penganut agama lain. Dengan kata lain, musolla itu hanyalah pada nama; hakikatnya ia ialah 'Multifaith Centre'.

Alhamdulillah, pimpinan pelajar di dalam RMIT Islamic Society (RMITIS) di universiti saya mengambil pendirian tegas; hak orang Islam untuk mempunyai ruang khas utk solat dipertahankan. Walaupun 'musolla' itu sudah terbuka pintunya (hanya pada waktu-waktu solat), karpet dengan garisan saf sudah terbentang, microfon siap dipasang dan hiasan dalam siap dengan tulisan-tulisan khat nama-nama Allah, selagi ia dijadikan multifaith centre, selagi itu tuntutan akan dibuat. Siri-siri protes bermula...

Musolla multifaith ketika baru dibuka


Gambar kami bersolat Jumaat di Bowen Lane, dipimpin oleh Presiden RMITIS, akhi Amr. sumber

Lebih kurang setahun protes berjalan. Kami solat di luar, beralaskan tikar, batu-batu dan rumput tiruan. Musim sejuk, panas, luruh dan bunga semua kami redah. Hujan juga membasahi solat kami. Solat jumaat dibuat secara terbuka di ruang laman universiti. Best juga. Buat pertama kali, rasanya, azan Jumaat berkumandang secara terbuka di Melbourne (selain pada solat hari raya). Pelbagai ragam manusia yang melihat. Ada yang mendengar khutbah sekali, ada yang menyindir, ada yang meluat. Tidak mengapa. Protes aman diteruskan berbulan-bulan sehingga pada satu tahap ia mendapat liputan meluas dari media. Petisyen dari pelajar Muslim dari pelbagai negara diambil. Saya sempat menjadi wakil untuk mengutip petisyen dari badan-badan Muslim Malaysia di Melbourne.

Pendekkan cerita lagi... selepas setahun lebih, protes berjaya. Kami akhirnya diberi hak istimewa ke atas musolla. Tiada perkongsian dengan penganut agama lain.

gambar kenangan bersama akh Elrafihi, Presiden RMITIS selepas akh Amr. Seorang yang lantang berkhutbah & menyuarakan pandangan.

Ia bermula dari pendirian tegas pimpinan pelajar tersebut (dengan sokongan badan Islam di Melbourne). Mereka sedar mereka hanyalah suara minoriti dalam masyarakat Barat Australia. Tetapi sekiranya mereka tidak bertegas dan hanya tunduk akur dengan keputusan universiti, semua universiti lain di Australia akan menjadikan ia precedent case. Inilah kata-kata yang sering dilaungkan oleh pimpinan RMITIS. Pelajar-pelajar Muslim masukan baru pula tidak akan merasai musolla mereka sendiri. Tatkala mereka membuat sujud, kemungkinan sebelah mereka ialah lilin-lilin yang disediakan untuk upacara penganut agama lain. (baca: pluralisme)

Ini hanyalah pengalaman peribadi saya. Kemungkinan pelajar luar negara lain ada pengalaman yang lain. Pada hemat saya, biar apa pun berlaku, pendirian kita sebagai orang Islam mesti tegas.

Kenapa saya keluarkan cerita lama ini?

Ya, kisah Karpal tegur Datuk Seri Ustaz Abdul Hadi Awang.

"Amat dikesali akhir-akhir ini Hadi kerap mengeluarkan kenyataan dan kemudian terpaksa menariknya kembali. Saya telah katakan sebelum ini, dan saya katakan sekali lagi bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. (petikan akhbar Sinar Harian 10 Mei 2012)


Sebuah cerita yang seolah-olah sama, cuma berbeza medannya. Satu di medan institusi pendidikan luar negara, yang ini di medan politik Malaysia.


Kisah di luar negara berlaku dalam keadaan di mana umat Islam adalah golongan minoriti.
Kisah di Malaysia pula dalam keadaan di mana umat Islam adalah golongan majoriti.


Biarlah Encik Karpal hendak berkata apa sekalipun, tetapi saya berharap & yakin Ustaz Abdul Hadi, mewakili suara Islam, juga bertegas menjelaskan bagaimana sebenarnya hudud itu (mungkin dia belum tengok video penjelasan hudud lakonan pimpinan PAS sendiri; Oley) dan menegaskan bahawa agenda menegakkan Islam sentiasa mekar dalam perjuangan umat, khususnya PAS.



cerita kedai kopi bersama akh Saif Kattan, presiden RMITIS 2010-2011.


ps: ini ialah gambar kenangan bersama Presiden RMITIS selepas akh Elrafihi. Panjang celotehnya. Rupanya, ada lagi tindakan hendak menekan pelajar Islam walaupun setelah mendapat hak eksklusif ke atas musolla.

Sunday, May 6, 2012

Klon, Pujian, Roda dan Ikhlas

  1. Ada ketika di mana aku terfikir, alangkah baiknya sekiranya ada cara untuk menduakan diri. Instant clone. Boleh tolong buat kerja. Tapi mengenangkan kemustahilan bayangan itu, hendak atau tidak, kerja dan taklifan akan sentiasa mendatang. Akhirnya, hanya mereka yang pandai meletakkan prioriti, menguruskan masa, urusan dan tenaga sahaja yang boleh menghadapi semua taklifan dengan baik. Itu pun kalau dengan izin Allah SWT. Oh manusia. Hakikatmu ini sangat lemah.
  2. Akan ada jua masa apabila kita merasakan kejayaan itu datang bersama pujian. Bagi yang tidak merenung keadaan hatinya, ia akan mudah merasa gembira. Setakat itu saja, tiada masalah. Masalahnya apabila jiwa itu lemah, gembira itu bertukar menjadi bangga. Mulalah timbul bibit-bibit bongkak. Maka, apabila menerima kejayaan; program berjaya, keputusan diterima oleh syuro, idea yang dilontarkan menarik dan menjadi, kata-kata didengari, dijemput menjadi penceramah di sana sini, dan macam-macam lagi, BERISTIGHFARLAH. Kecutkan pembuluh darah, halau syaitan, kawal nafsu dan ego.
  3. Tugas media macam roda yang sedang menuruni bukit. Kerjanya tak pernah berhenti. Entah bila akan sampai ke kaki bukit. Apa-apapun, biarlah apabila sampai ke kaki bukit, cerun bukit itu curam. Biarlah putaran roda itu terhenti tatkala ia sedang berputar pada kelajuan maksimum. Biar ia berakhir dengan amalnya yang terbaik.
  4. Saat beramal di hadapan manusia, perlu sentiasa untuk ikhlaskan hati. Kalau anda seorang yang mudah merasa bangga dan suka dipuji, lebih baik biasakan diri dengan buat kerja-kerja bawahan. Susunlah kerusi, susunlah meja, angkatlah barang, kemaskan tempat, buang sampah, biar kita yang berpeluh, jangan orang lain berpeluh. Ada yang beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga ia sangat hampir dengan syurga, tetapi ketetapan Allah mendahului, lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia pun memasukinya. Hadis dari hadis 40 ini sungguh menakutkan, dan juga merendahkan ego kita kerana ia menunjukkan kelemahan kita yang ultimate.