Antara usrah dan raptai program, antara qiyam dan penganjuran forum, antara daurah dan program seminar untuk junior, mana lagi penting?
Ini merupakan dilema dualism di kalangan daie.
...............
Ada dua bentuk kesalahfahaman di kalangan para daie tentang kecenderungan amal; antara amal yang bersifat ruhiyah dan amal dakwah kepada masyarakat dalam bentuk program.
Ada satu ekstrim yang menganggap amal yang membasahkan ruhiyah itu paling penting dan sekiranya dikurangkan, akan keringlah ruh perjuangan seseorang. Ia bisa membuatkan seorang daie itu futur dalam jangka masa panjang. Golongan ini mementingkan hubungan dengan Allah. Hubungan ini disifatkan sebagai basah.
Di hujung ekstrim yang satu lagi ialah golongan yang sangat suka berjumpa orang dan menyampaikan keindahan Islam kepada manusia. Golongan ini juga mudah teruja dengan perkembangan fasa dakwah yang terbuka. Mereka yang seronok merancang program dakwah. Mereka yang cekap dan meletakkan keutamaan kepada kesempurnaan program, sehingga kadang-kadang mengabaikan bekalan makanan untuk hatinya. Golongan ini mementingkan hubungan sesama manusia. Hubungan ini disifatkan sebagai kering.
...............
Untuk mencapai kebahagiaan sebenar dalam kehidupan, memerlukan kita berjalan di muka bumi atas asas-asas kefahaman Islam yang dicedok dari Al-Quran dan Sunnah. Maka, untuk benar-benar merasai kemanisan berdakwah, kefahaman seseorang itu perlu kembali kepada ajaran kedua-dua sumber tersebut.
Salah faham kedua-dua golongan tadi perlu mencapai keseimbangan. Tidak sepatutnya berlaku dualism dalam kefahaman seseorang dalam hal hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Kedua-dua kecenderungan ini perlu bergerak seiring dan sejalan.
Seeloknya kita melihat kembali ayat-ayat Quran yang menjelaskan tentang hal ini. Banyak sekali ayat yang menjelaskan tentang perkaitan yang rapat antara taqwa (hubungan dengan Allah) dan hubungan sesama manusia.
"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (redha) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untukmu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepadamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (Al-Hajj 22:37)
"(iaitu) orang-orang yang menaati perintah Allah dan RasulNya sesudah mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud). Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di antara mereka dan yang bertaqwa ada pahala yang besar. (Ali Imran 3:172)
"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir dan orang-orang yang meminta-minta, dan hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa. (al-Baqarah 2:177)
Ayat kebajikan 2:177 tidak membezakan antara ketaqwaan dan hubungan sesama manusia. Inilah sepatutnya yang menjadi paras ukur seseorang dalam menilai penilaiannya sendiri dan mengembalikan paradigmanya ke keadaan yang seimbang, bukannya antara dua ekstrim yang disebutkan tadi.
...............
Begitulah definisi tarbiyyah yang sepatutnya difahami oleh ikhwah dan akhawat. "Tarbiyah bukanlah majlis-majlis ilmu untuk mengumpul maklumat bahan yang berlangsung daripada minggu ke minggu, muzakarah kitab ke kitab, ayat ke ayat, hadis ke hadis, tetapi dalam konteks amalinya dakwah tidak berkembang, usrah tidak bertambah, syukbah tidak berkembang, dan amal tidak bertambah."
Maka, antara usrah dan raptai program, antara qiyam dan penganjuran forum, antara daurah dan program seminar untuk junior, mana lagi penting?
Antara basah dan kering, mana lagi penting?
Saya hanya mampu untuk menjawab, kedua-duanya sama penting, tidak lebih tidak kurang.
Allahua'lam.
Semoga tulisan ini hanya membuahkan kebaikan.
(Perkongsian MABIT ISMA Kuching)
rujukan:
Dr Majdi Al-Hilali 2005, "Menjadi Hamba Rabbani" terbitan Maghfirah Pustaka
Ust Abdullah Zaik Abd Rahman & Ustazah Norsaleha Mohd Salleh 2011, "Nota untuk Naqib" terbitan Pustaka Salam