Thursday, November 17, 2011

Si Pakcik Tua yang Lumpuh


Hari ini di masjid Michael St semasa solat berjemaah, saya solat di sebelah seorang pakcik tua yang lumpuh sebelah badan. Beliau merupakan salah seorang jemaah masjid yang konsisten solat berjemaah, menghadiri kelas-kelas agama Syeikh Abu Ayman (tokoh ASWJ Association di Australia) dan program-program lain di masjid.

Baru hari ini saya menyedari sesuatu yang agak menyentuh hati saya.

Semasa duduk untuk tahiyyat akhir, dia menggunakan tangan kirinya untuk mengangkat jari telunjuk tangan kanannya. Ia mengingatkan saya tentang kisah hebat Jaafar bin Abu Talib dalam Perang Mutah. Beliau memegang panji Islam dengan tangan kanannya, ditetak oleh musuh. Disambut pula panji itu dengan tangan kirinya, sekali lagi terputus oleh musuh. Akhirnya beliau memegang dengan merapatkan panji tersebut ke dadanya menggunakan lengannya yang tinggal, sehingga akhirnya musuh membelah dua badannya.

Kalau seorang pakcik tua yang sudah lumpuh sebelah badannya itu sanggup datang berjalan kaki ke masjid untuk pergi solat berjemaah di masjid, menghadiri halaqah-halaqah dan sebagainya, apalah alasan yang patut keluar dari mulut seorang pemuda yang sihat tubuh badannya, cerdas otaknya, dan banyak masanya untuk tidak keluar ke masjid dan menghadiri program-program agama?

Terasa berlubang dada ini apabila diberi peluang untuk bermuhasabah peristiwa sebegini.

No comments: