Sunday, April 11, 2010

Hidayah Milik Allah

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.
Al- Qasas 28:36

Ketika Abu Talib sedang nazak, Rasulullah berada di sampingnya. Berkali-kali Rasulullah memujuk ayah saudaranya itu agar mengucap syahadah. Tetapi pada masa yang sama, Abu Jahal menghasut agar Abu Talib kekal dengan agama Abdul Muttalib sehingga ajal menjemput.

Akhirnya, Abu Talib membuat keputusan untuk kekal dengan agama nenek moyangnya, kerana sekiranya dia memeluk Islam, dia risau orang ramai akan menuduh keIslamannya disebabkan takut dengan kematian. Dia kekal dengan agama jahiliyyah kerana hendak menjaga maruah keluarga.

Maka atas rasa kasih Rasulullah terhadap ayah saudaranya itu, baginda bertekad akan terus berdoa sebanyak mungkin agar Allah mengampuni Abu Talib. Sehinggalah ditegur Allah. Dan kita faham mengapa Rasulullah berbuat demikian. Bukankah Abu Talib telah bersama dengan baginda sejak kecil lagi. Abu Talib jugalah yang membela Rasulullah di saat baginda ditindas di Makkah. Tetapi sayang sekali Abu Talib tidak memeluk Islam, padahal dialah antara tulang belakang perjuangan Rasulullah.


Hidayah Allah memberi kita peluang untuk berjalan di atas jalan yang benar, mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dan menyelamatkan diri di Hari Kebangkitan kelak.

Jauh dalam hati setiap manusia sebenarnya mahukan cahaya itu.

Namun, hidayah itu milik Allah. Hanya Dia yang mengetahui siapa yang mampu, bersedia dan mahu akan petunjuk dan hidayah-Nya.

Dan sebanyak mana pun rasa kasih seorang da'ie kepada insan lain, tidak akan mampu memberi kuasa kepada mereka untuk memberi hidayah. Kemampuan mereka hanya terbatas kepada usaha dan doa.

Maka seharusnya, kita perlu berdoa pada Allah agar diberi petunjuk dan hidayah, walaupun kita tidak tahu apa sebenarnya hidayah dan jalan kebenaran yang kita pinta itu.

Tetapi kadang-kadang, kita sudah pun mengetahui tentang cara hidup Islam yang sebenarnya. Kita tahu Islam itu bukannya sekadar rukun yang lima. Kita tahu dalam pergaulan harian ada batasan syariat, kita tahu menuntut ilmu merupakan sebahagian dari tarbiyyah, kita tahu dalam bersukan ada akhlaq yang perlu dijaga, dan sebagainya.

Namun dalam hati berkata, "Aku taknak berubah", "Aku belum bersedia" etc.

Kalau jalan kebenaran sudah terbentang di depan mata, tetapi hati belum bersedia, sekali lagi ditekankan, berdoalah agar hati ini terbuka. Biar Allah yang memandu perjalanan hidup, agar suatu hari nanti, setiap tingkah laku kita ini mendapat redhaNya.

1 comment:

daie` said...

InsyaALLAh mudah2n diberi petunjuk dan kekal dalam peliharaanNYA.