Monday, October 12, 2009

Seimbangkan Diri, Jangan Jatuh



Never quit learning how to walk, until we find the right balance, because once we quit, we will never know how to actually walk, let alone run.


Hidup seorang pelajar yang berdakwah sentiasa menghadapi dilema. Dilema antara akademik dan dakwahnya. Menatang yang satu, yang satu lagi tumpah. Kesukaran mencari keseimbangan antara studi dan dakwah ini juga yang seringkali menguji neraca mana yang kita guna untuk membuat sesuatu perkara. Neraca Allah atau neraca duniawi.


Ya, diakui. Memang sukar untuk mencari titik keseimbangan tersebut. Dah nama pun kehidupan. Kehidupan manusia dipenuhi dgn susah payah. Di sini lah tandanya Allah mengasihi kita. Dia ingin menguji setakat mana kesanggupan kita menghadapi jalan "berduri" ini. Padahal ramai lagi yang terbiar hanyut di luar sana.
Tetapi manusia ada batasnya. Kadang-kadang dilema ini memakan dirinya sehingga usaha untuk menyeimbangkan studi dan dakwah terancam.

Lalu bagaimana?

Terpulang kepada kekuatan masing-masing. Dalam hidup ini, kita bebas memilih. Pilihlah jalan mana yang kita rasakan sesuai. Asalkan ianya tidak mematikan usaha kita untuk berintima' dengan Islam.

Buatlah apa sahaja, tetapi jangan sampai keputusan kita mematikan kita atas jalan dakwah.


Jangan sampai ianya menghilangkan Islam dalam ibadah kita, akhlaq, pergaulan, dan seluruh aspek kehidupan. Mengapa? Kerana di situlah titik kekuatan kita.
Hilang Islam, hina kita.

Dunia dan akhirat bergerak seiring. Tidak sepatutnya berlaku pertembungan antara keduanya. Seorang pelajar senibina boleh berjaya di dunia dan akhirat. Dia mempelajari betapa indahnya alam ini, maka rumah yang dibinanya perlu harmoni dengan alam persekitaran. Dia mengkaji amalan dan budaya kaumnya, maka bangunannya mengambil kira faktor tersebut; orientasi, arah kiblat, privasi tempat tidur, privasi untuk kaum hawa, dan sbgnya. Dia menyedari menanam pokok merupakan suatu bentuk sedekah. Maka di dalam usul bangunannya disertakan pohon buah-buahan untuk manusia dan binatang, teduhan kepada sesiapa sahaja yang mencari tempat redup, dan sbgnya.
Dia tahu tidak sepatutnya bermegah-megah, maka senibinanya tidak menggunakan perhiasan yang melampau, bahan-bahan yang murah dan mudah didapati, dan sebagainya. Bagaimana dia hendak memastikan dirinya sentiasa mempunyai sensitiviti sebegini?

Semuanya bermula dari tarbiyyah. Dia mendalami ilmu-ilmu Islam. Hidupnya dihiasi ayat Quran. Dia menyedari betapa pentingnya masyarakat tahu akan situasi umat yang sedang tidur lena. Dia sedar kepentingan mengislah masyarakat. Pada ketika masyarakat muda sekarang sibuk ber-couple dan mencari cinta abadi (mengalahkan pasangan suami isteri yang sah), dia berasa sedih kerana menyedari umat Islam sekarang hilang jatidiri.

Dia mengkaji sirah umat. Masyarakat muda Islam terdahulu tidak mengenal erti berfoya-foya. Sultan Kilij Arslan mengetuai tentera menentang tentera Salib di Anatolia ketika umurnya 16 tahun. Usamah bin Zaid mengetuai bala tentera Islam menentang Emapayar Rom semasa umurnya bawah 20 tahun. Remaja zaman dahulu sudah habis menghafal Quran apabila mencecah 13 tahun.


Dunia dan akhirat bergerak seiring. Kita tidak dikira sebagai orang berjaya sekiranya mengabaikan salah satu. Seeloknya kita melihat ianya sebegitu.


رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

"Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka"
Al Baqarah : 201

ps:
Moga tsabat.

Takut juga menulis sebegini.

Takut cakap tak serupa bikin.

Habis kena laknat.


Ok. Perlu fokus kepada design sekarang.